KOTA BHARU: Polis Kelantan tidak menolak kemungkinan sindiket dadah yang ditahan didalangi usahawan salun dan kedai makan membabitkan 35.4 kilogram (kg) pil yaba pada 27 Jun lalu mempunyai rangkaian sindiket dadah antarabangsa.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata siasatan menyeluruh dan terperinci masih dijalankan pihaknya.
“Pada masa sama, kita akan mengesan semua saki baki kumpulan sindiket berkenaan, tidak kira siapa asalkan berkaitan dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan enam suspek termasuk pasangan suami isteri dipercayai memiliki dadah jenis pil kuda seberat lebih 35.4 kg bernilai RM5.04 juta di Jalan Gajah Mati, Kampung Banggol Chicha, di sini, pada 27 Jun lalu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Deputi Komisioner Polis Datuk Mat Zani @ Mohd Salahuddin Che Ali dilaporkan berkata, semua suspek iaitu lima lelaki dan seorang wanita berusia 25 sehingga 39 tahun itu dipercayai terbabit dengan pengedaran dadah sejak 2022.
BHonline-


