KOTA KINABALU: UMNO memberikan kepercayaan penuh kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengendalikan kes dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang didakwa terbabit rasuah.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pihaknya percaya tindakan SPRM yang dijangka menuduh dua ADUN berkenaan berhubung kes rasuah pengeluaran lesen cari gali mineral di Sabah akhir bulan ini, adalah berdasarkan bukti dan saksi kukuh.
Beliau berkata selaras pertuduhan itu, dua ADUN terbabit boleh menggunakan mahkamah untuk menunjukkan bukti bagi tujuan ‘membersihkan’ diri.
“Kita memberikan kepercayaan kepada agensi penguatkuasaan terutamanya SPRM, bukan hanya melakukan siasatan tetapi membawa bukti dan saksi yang diyakini.
“Kalau ada dua perkara itu, maka pertuduhan boleh dilakukan dan kita memberikan kepercayaan kepada mereka (SPRM) dan mengambil tindakan itu.
“Kalau seseorang itu mempunyai saksi dan bukti untuk menolak saksi (dibawa SPRM) dan juga bukti pihak pendakwaan, maka bersihkan nama di mahkamah,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Pemerkasaan Wanita Sabah, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai pendirian UMNO berhubung tindakan SPRM yang menahan dua ADUN di Sabah sebelum dibebaskan dengan jaminan, masing-masing pada Rabu lalu dan semalam.
Turut ditahan seorang individu awam dikenal pasti sebagai pemberi maklumat yang terbabit dalam penyebaran video dikaitkan dengan perbuatan rasuah ADUN Sabah sebelum ini.
Ketiga-tiga mereka dijangka dituduh di mahkamah pada akhir bulan ini.
Difahamkan, seorang daripada ADUN yang dikaitkan dengan tindakan SPRM itu berstatus Pembantu Menteri Sabah, manakala seorang lagi ialah ADUN biasa yang juga pengerusi di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah.
-Berita Harian


