Georgetown: Lelaki warga tempatan berusia 29 tahun ditahan kerana disyaki terbabit dengan kejadian ragut membabitkan wanita warga emas di Jelutong, dekat sini, semalam.
Kejadian itu tular di media sosial menerusi video yang dirakam orang awam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian yang dibuat mangsa berusia 71 tahun itu pada 4.30 petang semalam.
Katanya, hasil siasatan mendapati kejadian berlaku pada jam 3.30 petang ketika mangsa menunggang motosikal melalui Jalan Tembaga, Taman Greenview, Jelutong.
“Wanita itu mendakwa rantai lehernya ditarik penunggang motosikal yang tidak dikenali dan terputus dengan sebahagiannya dilarikan suspek.
“Susulan laporan, suspek berjaya ditahan berhampiran Jalan Lim Khoon Huat di sini, pada jam 4 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Abdul Rozak berkata, turut dirampas ialah motosikal dan pakaian yang digunakan suspek semasa melakukan jenayah.
Katanya, hasil ujian air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis tetrahydrocannabinol (THC).
“Polis memperoleh perintah tahanan reman terhadap suspek selama tujuh hari sehingga 2 Jun ini bagi siasatan lanjut.
“Berikutan penahanan suspek, kes yang tular ini berjaya diselesaikan dalam tempoh 24 jam selepas laporan polis diterima,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular video mengenai kejadian itu memaparkan kedua-dua motosikal dinaiki mangsa dan suspek terjatuh di jalan raya.
Mangsa turut mempertahankan diri dalam kejadian itu sebelum suspek bertindak melarikan diri.
-Harian Metro


