BATU PAHAT: “Ketika itu saya sedang berbual dengan Mak Su di telefon… tiba-tiba terdengar dentuman kuat sebelum disusuli suara mengerang kesakitan.”
Demikian kongsi Hafizah Mohamad, 53, anak saudara kepada suami isteri yang maut selepas kereta dinaiki merempuh treler di Jalan Bindu, dekat Tongkang Pechah, di sini pagi semalam.
Mazalan Balia, 69, yang memandu kereta disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI), disusuli isterinya, Radin Pauziyah Radin Ahmad, 75, ketika menerima rawatan di hospital sama.
Menceritakan kejadian itu, Hafizah berkata sebelum kejadian dia menghubungi arwah Radin Pauziyah yang dipanggil Mak Su yang ketika itu dalam perjalanan bersama suaminya dari Parit Raja menuju Parit Abd Rahman.
“Memang kebiasaan bagi saya berhubung dengan Mak Su jika tidak bekerja kerana kami sejak dulu rapat. Sepanjang perbualan, mak su kelihatan ceria.
“Namun, ketika berbual, saya terdengar dentuman dan kemudiannya kedengaran suara Mak Su mengerang kesakitan. Saya tanya Mak Su bunyi apa, tetapi dia tak jawab… saya tanya lagi kenapa dengan mak su, pun tak jawab juga.
“Saya menjerit sekuat hati dalam telefon sambil panggil nama Mak Su… banyak kali saya panggil nama dia, tapi yang kedengaran hanya suara dia mengerang.
“Saya terus tamatkan panggilan dan hubungi kakak saudara untuk bantu cari Mak Su berdasarkan maklumat yang ada ketika itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HSNI.
Mazalan berkata, selepas menghubungi ahli keluarga lain, dia sekali lagi menelefon Mak Su, namun panggilan dijawab seorang lelaki yang kemudian memaklumkan ibu dan bapa saudaranya itu tersepit di belakang treler.
“Masa itu saya terus menjerit (menangis) dalam masa sama saya masih dengar suara Mak Su sedang mengerang kesakitan. Saya tak boleh cakap apa-apa ketika itu dan hanya menangis,” katanya.
Anak arwah, Mohd Adnan Othman, 34, berkata dia dihubungi saudara jam 10 pagi memaklumkan ibu bapanya kemalangan.
“Saya pada waktu itu hanya dimaklumkan ayah tak sedarkan diri, jadi saya tak dapat gambarkan bagaimana keadaannya sama ada teruk atau tidak.
“Kemudiannya, saya diberitahu emak tak cedera teruk lalu bergegas pulang dari Kuala Lumpur untuk melihat keadaan mereka.
“Apabila sampai di sini (Batu Pahat) sekitar jam 3 petang, ibu saudara beritahu mak saya dah tak ada, itulah membuatkan saya sangat terkejut.
“Emak dan ayah sentiasa bersama-sama walau ke mana termasuklah menemani emak menjalani rawatan dialisis. Hari ini (semalam) adalah hari sepatutnya ayah dan emak jumpa adik beradik di kampung, namun yang berlaku sebaliknya,” katanya sebak.
-Berita Harian


