KUALA LUMPUR: Beberapa jalan di sekitar ibu negara ditutup sempena raptai Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (ASEAN-GCC) 2025.
Antara jalan yang terbabit ialah Jalan Sultan Ismail, Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Damansara dan Jalan Tuanku Abdul Halim.
Difahamkan, anggota polis trafik mula melencongkan jalan berkenaan sekitar jam 9 pagi tadi.
Situasi itu menyebabkan kesesakan jalan berlaku di beberapa kawasan, namun ia masih terkawal dengan kehadiran anggota polis trafik di kawasan sekitar.
BH sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan latihan simulasi sempena ASEAN-GCC 2025 selama dua hari bermula hari ini, membabitkan pergerakan konvoi pemimpin di sekitar ibu negara.
Dalam kenyataan hari ini, PDRM berkata, latihan itu akan dijalankan mengikut masa sebenar membabitkan laluan utama bagi raptai pergi dan balik, ke lokasi rasmi persidangan.
“Latihan esok membabitkan pergerakan konvoi negara ASEAN, manakala pada Khamis ini pula membabitkan negara GCC,” kata kenyataan itu.
Antara laluan yang terbabit ialah dari hotel penginapan ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) antara jam 7.30 pagi hingga jam 9 pagi dari KLCC ke Istana Negara bagi majlis Santapan Diraja (jam 11.30 pagi hingga 1 tengah hari) dan dari hotel ke lokasi makan malam gala antara jam 6.30 petang hingga 8 malam.
-Berita Harian


