KUALA LUMPUR: Semua pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 Siri 2/2025 yang bermula hari ini akan mengikuti modul latihan sama, meskipun mereka ditempatkan di dua kem berbeza mengikut jantina.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Ya’cob Samiran, berkata pelatih lelaki yang ditempatkan di Kem Rejimen 505 Askar Wataniah di Pekan, Pahang akan menjalani latihan sama seperti pelatih wanita di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini.
“Tiada perbezaan dari segi kandungan modul latihan. Jika ada perbezaan pun, ia hanya membabitkan kemampuan fizikal dan tahap kesihatan pelatih masing-masing.
“Latihan fizikal juga akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tahap kesukaran dan kemampuan,” katanya selepas meninjau proses pendaftaran pelatih wanita di Kem 515 Askar Wataniah di sini, hari ini.
Beliau berkata, walaupun struktur asas modul latihan dikekalkan, beberapa penambahbaikan dilakukan berbanding modul digunakan pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025.
“Modul latihan masih mengekalkan 70 peratus latihan asas ketenteraan dan 30 peratus komponen kenegaraan, namun terdapat sedikit penambahbaikan dari segi pelaksanaannya, khususnya dalam bentuk amali,” katanya.
Mengulas proses pendaftaran hari ini, Ya’cob berkata, seramai 550 pelatih membabitkan 350 pelatih lelaki dan 200 pelatih wanita, dijangka menyertai PLKN kali ini yang berlangsung selama 45 hari bermula hari ini hingga 24 Jun.
Beliau berkata, proses pendaftaran dijangka mengambil masa dua hingga tiga hari memandangkan masih terdapat pelatih memohon mendaftar lewat atas sebab tertentu seperti lokasi kem dan belum bersedia.
Katanya, JLKN turut menerima pelatih yang mendaftar secara sukarela, bergantung kepada kekosongan dan setakat ini seramai 30 pelatih sukarela sudah mendaftar.
Sebelum ini, seramai 116 pelatih PLKN 3.0 Siri 1/2025 berjaya menamatkan latihan selama 45 hari bermula 12 Januari hingga 25 Februari lalu di Kem Rejimen 515 Askar Wataniah di sini.
PLKN 3.0 siri pertama yang dilaksanakan selepas tujuh tahun dimansuhkan itu membabitkan 73 pelatih lelaki dan 43 pelatih wanita berusia antara 18 hingga 25 tahun.
Pelaksanaan semula program ini secara berperingkat bertujuan memupuk semangat patriotisme, perpaduan nasional dan jati diri dalam kalangan belia Malaysia, selain membekalkan mereka dengan ketahanan fizikal serta mental dalam menghadapi cabaran hidup.
Bernama-


