PORT DICKSON, 25 April 2026 – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 bagi Siri 2/2026 mencatatkan kehadiran seramai 1,350 pelatih, dengan tiga kem utama mencapai kapasiti penuh, sekali gus mencerminkan sambutan memberangsangkan dalam kalangan belia dan ibu bapa.

Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) memaklumkan, proses lapor diri hari ini berjalan lancar dan teratur di semua lokasi latihan.
Berdasarkan rekod penawaran melalui sistem ePLKN, Kem Cawangan Latihan Khidmat Negara (CLKN) 505 (AW) di Pekan, Pahang menempatkan 500 pelatih, diikuti Kem CLKN 515 (AW) Kuala Lumpur seramai 250 pelatih, manakala Kem CLKN Malbatt Village di Port Dickson menempatkan 600 pelatih.

Penambahan kem baharu di Malbatt Village dilihat sebagai langkah strategik bagi meningkatkan kapasiti pengambilan pelatih, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada golongan muda untuk menyertai PLKN 3.0 secara berperingkat tahun ini.
Ketua Pengarah JLKN, Mejar Jeneral Datuk Marzuki Hj Mokhtar berkata, pencapaian kapasiti penuh itu bukan sekadar angka, tetapi melambangkan komitmen dalam membina generasi muda yang patriotik, berintegriti dan berdaya tahan.
“PLKN 3.0 terus mendapat kepercayaan tinggi daripada golongan muda serta ibu bapa, sekali gus menunjukkan keyakinan masyarakat terhadap usaha kerajaan dalam membentuk belia berdisiplin,” katanya.
Menurut beliau, walaupun Kem Malbatt Village berfungsi sebagai kem sementara, aspek keselamatan dan keselesaan pelatih tetap menjadi keutamaan.
Tambahnya, pelbagai penambahbaikan fasiliti telah dilaksanakan termasuk pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di setiap blok penginapan bagi memastikan persekitaran latihan lebih selamat dan kondusif.
Untuk rekod, fasiliti Malbatt Village sebelum ini merupakan Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang telah diubah suai bagi memenuhi keperluan latihan, selain pernah digunakan sebagai pusat penempatan anggota menjalani latihan Force Integration Training (FIT) sebelum menyertai misi pengaman di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Dalam masa sama, JLKN menyifatkan pelatih yang ditempatkan di kem tersebut sebagai bertuah kerana berpeluang menjalani latihan di fasiliti yang pernah digunakan oleh anggota misi antarabangsa negara.
“Ini adalah tempat wira-wira negara. Diharapkan pelatih dapat menyerap semangat tersebut sepanjang 45 hari latihan,” katanya lagi.

Kem Malbatt Village yang terletak di Batu 5, Port Dickson merupakan kemudahan milik Markas Angkatan Bersama yang lengkap dengan pelbagai fasiliti termasuk dewan kuliah, dewan makan, stor senjata serta penginapan.
Sehubungan itu, JLKN mengingatkan bakal pelatih, khususnya kelahiran tahun 2008, agar sentiasa mengikuti pengumuman rasmi jabatan bagi maklumat terkini berkaitan siri latihan akan datang.


