KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan sebarang cadangan untuk kenaikan RON95 dan kenaikan kadar tarif elektrik tahun ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata langkah ini perlu bagi menunjukkan kerajaan prihatin serta mengambil serius terhadap kesan di sebalik pelaksanaan tarif timbal balas oleh Amerika Syarikat (AS).
“Kita tangguhkan sebarang perubahan dasar terutama dasar fiskal negara yang boleh memberi tekanan kos dan melemahkan sentimen perniagaan dan akhirnya membebankan pengguna.
“Saya nak bagi contoh, tentang (cadangan) kenaikan RON95 pada Jun ini supaya kerajaan ambil kira. Kalau boleh kita tangguh, kita tangguhkan.
“Begitu juga dengan (cadangan) kenaikan tarif elektrik pada Julai 2025 dan kita tangguhkan juga langkah peluasan skop SST (cukai barangan dan perkhidmatan) tentunya kita ambil kira juga.
“Beli 30 buah pesawat Boeng dalam keadaan ekonomi tak menentu ini, kita tangguhkan dulu,” katanya pada sesi perbahasan pada mesyuarat khas berkenaan isu tarif AS di Dewan Rakyat hari ini.
Lim Guan Eng (PH-Bagan) pula berkata, selain menangguhkan pengapungan RON95 kepada harga pasaran, kerajaan perlu membekukan segala syor yang boleh menambah beban industri seperti cukai atau kenaikan tarif elektrik 14.2 peratus serta pelaksanaan e-Invoice pada Julai ini.
“Pengumuman menangguhkan peluasan skop SST pada 1 Mei lalu amat dialu-alukan. Kerajaan juga harus menimbang menarik balik cadangan sumbangan KWSP dua peratus kepada oleh majikan bagi pekerja asing.
“Menurunkan kaedah OPR Bank Negara sebanyak satu peratus daripada tiga peratus sekarang kepada dua peratus. Memandangkan kadar inflasi kian terkawal, sasaran utama harus difokuskan kepada menggerakkan pertumbuhan ekonomi yang boleh dijalankan dengan menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR). Kita harap tindakan agresif oleh Bank Negara,” katanya.
Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan berkata, pakej rangsangan ekonomi kepada industri terjejas serta pekerja yang kehilangan pekerjaan juga perlu dlaksana.
“Selain geran kerajaan seperti yang diumumkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim), sektor perbankan harus diwajibkan untuk memberi pinjaman mudah atau kelonggaran pinjaman sedia ada.
“Jangan hanya tahu untung, tapi tidak tahu menanggung beban bersama,” katanya turut mencadangkan kerajaan memberikan peluang perniagaan dan akses kepada industri tempatan dimana pelabur asing dan tempatan diwajibkan membeli sekurang 50 peratus barangan temopatan.
BHonline-


