KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes saman fitnah difailkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, terhadap tiga individu termasuk Wan Muhammad Azri Wan Deris atau lebih dikenali sebagai Papagomo, akan bermula 2 Oktober depan di Mahkamah Tinggi di sini.
Saman itu difailkan Fahmi secara berasingan pada 5 September 2023 terhadap Wan Muhammad Azri; penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd Rani; dan pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’, Mohd Fauzan Madzlan, berhubung dakwaan bahawa Ahli Parlimen Lembah Pantai itu menyampaikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.
Peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Fahmi, ketika ditemui pemberita berkata pada prosiding kes berkenaan hari ini, Hakim Roz Mawar Rozain telah membenarkan permohonan plaintif (Fahmi) supaya ketiga-tiga kes saman terbabit dibicarakan bersama.
“Mahkamah kemudian menetapkan 2 dan 3 Oktober depan untuk perbicaraan,” katanya.
Prosiding itu turut dihadiri peguam, Mohammed Zamri Ibrahim yang mewakili Mohd Fauzan.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan telah menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa beliau menyalahgunakan tempat beribadah, iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah serta perintah Sultan Selangor.
Fahmi mendakwa kata-kata fitnah itu disiarkan di akaun Facebook milik Mohd Fauzan serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai 2023, selain di akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos tahun sama.
Fahmi mendakwa kenyataan fitnah itu tidak berasas, dan pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik sebagaimana difitnah oleh defendan.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk atau teladan dan perintah injunksi bagi menghalang kesemua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah itu.
Bernama-


