Kuala Lumpur: Kerajaan bersetuju untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig bagi meningkatkan perlindungan dan menyelesaikan isu kebajikan membabitkan golongan berkenaan pada sesi Parlimen akan datang.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim berkata, draf RUU sudah disiapkan selepas sesi libat urus diadakan dengan lebih 3,000 golongan pekerja terbabit.
“Jangan halang kerajaan bela nasib pekerja gig, berilah sokongan kerajaan bentangkan RUU Pekerja Gig pada sidang (Parlimen) akan datang,” katanya berucap sempena sambutan Hari Pekerja 2025 di Arena Axiata, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Majlis sambutan itu disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Dalam pada itu, Steven berkata, buat pertama kali dalam sejarah upah penengah bulanan rakyat sudah melepasi nilai ambang RM3,000 iaitu meningkat dari RM2,700 kepada RM3,045 sebulan.
Menurutnya, RUU pekerja gig diusahakan kerana kerajaan mendengar keluhan kelompok pekerja itu yang sudah bertahun-tahun diberi janji manis.
“Kerajaan mendengar keluhan anda yang sudah bertahun-tahun diberi janji manis. Kerajaan bersilih ganti, hasrat pekerja gig untuk mendapat perlindungan perburuhan masih belum dicapai.
“Namun, di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar, kerajaan akhirnya sudah menyiapkan draf RUU Pekerja Gig yang bersejarah.
“Kesuma telah membuat kajian, konsultasi, sesi libat urus, menerima input atas talian, mengadakan town hall mega dan sudah 3,000 pemegang taruh dirujuk,” katanya.
Katanya, Kesuma tidak akan berkompromi dalam usaha mendukung hak pekerja.
“Kami akan ‘go all out’ untuk melindungi pekerja kita. Apa pun yang terjadi, kami akan melindungi pekerja kami walau pun apapun berlaku. (Come what may, we will protect our workers at all cost).
“Kesuma berpegang kepada prinsip ekuiti yang telah ditetapkan oleh Mahkamah Perusahaan Malaysia waima di kala pandemik melanda, kegawatan ekonomi dan iklim perniagaan tidak harus dijadikan alasan untuk menindas pekerja,” katanya.
-Harian Metro


