KEPADA yang masih skeptikal terhadap tawaran Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) 2.0, usah beratkan mentaliti anda dengan belenggu kerisauan.
Tawaran oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) itu jangan diragukan kerana ia sebenarnya tersangat bermanfaat buat mereka yang layak menyertainya.
Belenggu keraguan dan sikap berlengah boleh menyebabkan anda terlepas PKPS 2.0 yang ditawarkan kepada hampir semua kategori pembayar cukai kecuali fail majikan.
Untuk rekod, program yang akan berakhir 31 Mei 2024 itu telah menghampiri separuh tempoh pelaksanaan sejak ia bermula 6 Jun lalu.
Secara umum, PKPS 2.0 memberi peluang kepada pembayar cukai untuk tampil secara sukarela bagi melaporkan pendapatan dan pengiraan cukai yang tepat dan teratur.

Manfaat terbesar apabila pembayar cukai yang menyertai PKPS 2.0 akan menikmati tawaran penalti atau surcaj pada kadar 0 peratus oleh HASiL.
Ini bermakna tiada penalti atau surcaj akan dikenakan sekiranya mereka melaporkan pendapatan menerusi program khas pengakuan sukarela itu dengan syarat bayaran cukai diselesaikan dalam tempoh PKPS 2.0.
Jika itu dianggap belum cukup meyakinkan, ada yang lain perlu anda ketahui mengenai PKPS 2.0.
Benar pembayar cukai akan dikehendaki menjelaskan bayaran cukai secara sekali gus dalam tempoh 30 hari dari tarikh notis.
Bagaimanapun, anda boleh juga membuat bayaran cukai berkenaan secara ansuran berdasarkan aturan bayaran ansuran.
Iaitu berdasarkan aturan bayaran ansuran yang telah dipersetujui sehingga 31 Mei 2024 tanpa perlu mengemukakan dokumen sokongan.
Bukan itu sahaja, anda malah masih boleh merayu untuk pengurangan cukai atas taksiran yang telah dibangkitkan dalam pengakuan sukarela tersebut.
Proses rayuan juga bukan diluar kebiasaan kerana boleh difailkan kepada HASiL mengikut prosedur rayuan yang sedang berkuat kuasa.
Seksyen 99 Akta Cukai Pendapatan 1967 (ACP) memperuntukkan seseorang yang tidak berpuas hati dengan sesuatu taksiran untuk mana-mana tahun taksiran ke atasnya berhak merayu terhadap taksiran itu.
Hebat bukan. Manfaat berganda yang boleh pembayar cukai layak nikmati dengan mengambil peluang menyertai tawaran PKPS 2.0 oleh HASiL. – MYNEWSHUB


