PUTRAJAYA : Lebuhraya Kuala Lumpur-Putrajaya (MEX) menjadi yang pertama melaksanakan Sistem Pembayaran Tol Terbuka (SPT) menggunakan kad debit atau kad kredit bermula esok.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemudahan itu sekali gus memberikan alternatif baharu serta kemudahan kepada pengguna dalam proses pembayaran tol, berbanding kaedah sedia ada seperti Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).
Mengulas lanjut, Maju Expressway Sdn Bhd (MESB) syarikat konsesi Lebuhraya MEX antara 12 lebuh raya terawal yang akan melaksanakan sistem SPT yang mana pengujian sistem sudah bermula pada Julai lalu.
Katanya, ia bagi memastikan kesediaan dan kelancaran pelaksanaan operasi selaras dengan piawaian ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Buat permulaan esok, SPT akan bermula di enam lorong sebagai proses percubaan sebelum diperluaskan ke semua lorong di ketiga-tiga plaza tol MEX sedia ada iaitu Salak Selatan, Putrajaya dan Seri Kembangan, pada penghujung September depan.
“Ia sebahagian inisiatif Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk melaksanakan sistem SPT di 12 lebuh raya terpilih secara berperingkat bermula September 2023.
“Selain MEX, inisiatif itu akan turut membabitkan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Besraya, Lebuh Raya Pantai Baharu (NPE), Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Terowong SMART, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) dan Jambatan Pulau Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan pengujian sistem kutipan tol secara terbuka di Plaza Tol Putrajaya.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan logo SPT yang akan digunakan pada papan tanda di lorong tol.
Dalam pada itu, Nanta Linggi berkata, KKR sentiasa dimaklumkan dari semasa ke semasa mengenai tahap kesediaan dan perkembangan pengujian yang kini dijalankan secara berperingkat oleh LLM bersama syarikat konsesi lebuh raya.
“Pelaksanaan SPT harus dijalankan secara teliti dan terperinci dengan mengambil kira pelbagai proses libat urus seperti aspek teknikal, keselamatan, perundangan dan pengendalian rekod transaksi tol itu sendiri bagi memastikan keselesaan dan keselamatan pengguna lebuh raya sentiasa diutamakan.
“KKR juga ingin menasihatkan pengguna lebuh raya supaya memastikan baki kad debit atau kad kredit mencukupi sebelum digunakan untuk pembayaran tol.
“Sekiranya transaksi menggunakan kad bank gagal, pengguna boleh menggunakan kad bank lain ataupun TnG.
“LLM juga sudah meminta semua syarikat konsesi yang terbabit inisiatif SPT untuk menempatkan petugas di lorong tol untuk memberi panduan kepada pengguna sekiranya perlu,” katanya.
-Berita Harian


