KUALA TERENGGANU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu dijangka akan dibubarkan esok bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar selepas selesai menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.
Pada sesi menghadap itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang memohon perkenan cadangan tarikh pembubaran DUN Terengganu pada esok.
Ahmad Samsuri pada sidang media ringkasnya di luar pekarangan istana memaklumkan sudah mempersembahkan cadangan pembubaran tarikh DUN Terengganu kepada baginda.
Beliau berkata, satu kenyataan rasmi berkaitan pembubaran DUN Terengganu akan dikeluarkan selewat-lewatnya petang ini sebaik mendapat perkenan Sultan Mizan.
“Alhamdullillah, apa pun kita tunggu dokumen disahkan dan ditandatangani oleh Kebawah Duli (Tuanku) , baharu saya akan buat pengumuman, kita cadang pada esok.
“Kita akan bagi kenyataan media sahaja kalau selepas dapat tanda tangan yang disahkan Tuanku, Insya-Allah, selewat-lewatnya petang ini akan ‘release’ (keluar),” katanya.
Terdahulu, Naib Presiden PAS itu memasuki pintu pagar utama Istana Syarqiyyah di Chendering, di sini, jam 8.38 pagi.
Kenderaan yang membawa Ahmad Samsuri meninggalkan pekarangan Istana Syarqiyyah, jam 9.18 pagi.
DUN Terengganu akan terbubar secara automatik pada 30 Jun ini selepas tempoh penggal berakhir.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS yang menguasai 22 kerusi DUN berjaya merampas Terengganu daripada BN yang memenangi 10 kerusi DUN.
BHonline-


