SHAH ALAM: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bersiap sedia menghadapi cuaca panas yang mungkin menjejaskan sektor pertanian negara dengan membuat pemantauan dari semasa ke semasa menerusi agensi bawah kementerian itu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, setakat ini semuanya dalam keadaan terkawal dan pihaknya akan memastikan bekalan makanan terutamanya beras serta keperluan lain sentiasa mencukupi.
“Kita pantau keadaan itu dari semasa ke semasa. Pegawai kita di Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA); Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP); Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Syarikat Padiberas Nasional Bhd (BERNAS) setiap masa pantau supaya stok makanan terutamanya beras sentiasa ada dan mencukupi.
“Ini memang kita pantau dalam bentuk harian, begitu juga dengan bekalan ayam yang turut terjejas dengan cuaca panas. Kita pantau dan pastikan bekalannya mencukupi,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai persediaan kemenerian menghadapi cuaca panas yang boleh menyebabkan sektor pertanian terjejas.
Terdahulu, Mohamad meninjau dan melancarkan Jualan Agro Madani peringkat kebangsaan di Dataran Usahawan Kompleks Penghulu, Kampung Johan Setia, dekat sini, hari ini.
Beliau berkata, KPKM juga menyediakan pelan kecemasan sekiranya berlaku situasi itu termasuk jika sesuatu bekalan didapati berkurangan secara mendadak.
“Kalau berlaku kecemasan, kita sediakan pelan dan jika perlukan import, kita akan import. Yang penting, kita sentiasa bersiap sedia,” katanya.
Semalam, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, Malaysia dijangka mengalami cuaca panas berpanjangan sehingga Ogos ini susulan musim peralihan monsun.
Sementara itu, mengulas mengenai Jualan Agro Madani, Mohamad berkata program berkenaan adalah penambaikan daripada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) yang dijalankan FAMA sebelum ini.
Katanya, program dengan kerjasama FAMA; LPP; Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan usahawan tani itu akan berlangsung di 10 lokasi di Selangor dan Kuala Lumpur.
“Jualan Agro Madani adalah projek rintis berkonsepkan jualan pada harga berpatutan berfokuskan kepada pengguna yang memerlukan dan ia juga platform dalam menyediakan ketersediaan dan akses kepada para pengguna dalam mendapatkan barangan keperluan dan seterusnya memberi peluang pasaran kepada usahawan.
Melalui program ini, komoditi jualan diperluaskan meliputi produk segar dan barang kawalan dengan penjimatan 10 peratus hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat bagi komoditi terpilih.
“Antara fokus lokasi melalui Jualan Agro Madani adalah di outlet peruncitan agensi di bawah KPKM, Projek Perumahan Rakyat (PPR), kawasan perumahan, kawasan miskin bandar dan pinggir bandar,” katanya.
Senarai Agro Madani
Taman Sri Sentosa, Lembah Pantai (17 April)
Sijangkang, Kuala Langat (30 April)
Taman Intan Baiduri, Kepong (30 April)
Taman Putra Perdana, Sepang (14 Mei)
Taman Tun Teja, Rawang (14 Mei)
Masjid Alam Damai, Cheras (28 Mei)
Taman Medan, Petaling (28 Mei)
Puncak Alam, Kuala Selangor (11 Jun)
Taman Fadason, Kepong (11 Jun).
BHonline-


