LUMUT – Seorang ejen perkapalan didenda RM2,250 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku melakukan sembilan kesalahan lalu lintas antara 2007 dan 2014.
K. Kartik, 28, yang berdepan 17 pertuduhan melakukan kesalahan lalu lintas, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nurul Ainna Ahmad.
Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan, antaranya, menunggang motosikal tanpa lesen, melanggar lampu isyarat, memandu di lorong sebelah kanan dan tidak dilindungi insurans, dari April 2007 hingga Ogos 2014 di sekitar daerah Manjung.
Nurul Ainna turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama 27 hari jika gagal membayar denda berkenaan dan menetapkan 11 Jun untuk menjatuhkan hukuman ke atas Kartik berhubung lapan lagi pertuduhan.
Kartik, yang mempunyai 17 waran tangkap, ditahan dalam sekatan jalan raya berhubung Ops Warta petang semalam di sini.
Tertuduh, yang tidak diwakili peguam, membayar denda itu.
Pendakwaan dikendali Pegawai Pendakwa Inspektor Roslan Mohd Suki. – BERNAMA

