KINSHASA: Dapatan awal misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Republik Demokratik Congo menunjukkan sekurang-kurangnya 131 orang awam terbunuh sekitar 29 hingga 30 November lalu di timur negara itu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pihak berkuasa di Kinshasa berkata, kira-kira 300 orang dengan hampir kesemua mereka adalah orang awam terkorban dalam serangan M23 di kampung Kishishe, di Kivu Utara, di timur republik itu.
Kumpulan berkenaan menafikan menjadi dalang di sebalik pembunuhan beramai-ramai itu dan menyalahkan ‘peluru sesat’ atas kematian lapan orang awam.
“Mereka yang terbunuh itu adalah ‘sebahagian daripada tindak balas terhadap penduduk awam,” kata misi MONUSCO PBB dalam satu kenyataan.
Kenyataan sama turut memberitahu, 102 lelaki, 17 wanita dan 12 kanak-kanak dihukum mati secara sewenang-wenangnya dengan peluru atau senjata lain.
“Lapan orang cedera kerana terkena peluru dan 60 yang lain diculik. Sekurang-kurangnya 22 orang wanita dan lima kanak-kanak perempuan telah dirogol.
“Keganasan ini dilakukan sebagai sebahagian daripada kempen pembunuhan, rogol, penculikan dan rompakan terhadap dua kampung di wilayah Rutshuru sebagai serangan balas susulan pertempuran dengan M23,” katanya.
Dapatan PBB itu tertumpu kepada perkampungan Kishishe dan Bambo.
Kumpulan penyiasat tidak dapat pergi ke kampung berkenaan kerana bimbang terhadap keselamatan mereka, namun berjaya menemubual 52 orang mangsa dan saksi di bandar Rwindi.
Kawasan timur negara yang kaya dengan mineral itu telah bergolak selama bertahun-tahun dengan pelbagai militia beroperasi di kawasan itu.
M23 melakukan kemunculan semula secara besar-besaran pada penghujung tahun lalu selepas tidak aktif selama bertahun-tahun.
Kumpulan pemberontak itu mendakwa Republik Demokratik Congo gagal menunaikan janji untuk mengintegrasikan pejuangnya ke dalam tentera.
BHonline-


