KULAI: Beberapa poster dan papan iklan yang memaparkan wajah calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Kulai, Chua Jian Boon, di Kampung Baru Senai, di sini disimbah cat dan diconteng, malam tadi.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Jian Boon berkata, selain diconteng, beberapa banting turut dicabut.
Sehubungan itu katanya, laporan polis dibuat wakilnya, Wong Pow Kyan di Balai Polis daerah Kulai pada jam 10 pagi tadi.
“Saya dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh pasukan saya pada jam 9 pagi tadi. Saya rasa mereka yang melakukan perbuatan khianat itu mula sakit hati kerana ceramah saya malam tadi dihadiri hampir 200 orang.
“Jadi dengan insiden ini saya andaikan pihak terbabit mula risau dengan kehadiran anak muda seperti saya.
“Sepatutnya perkara ini tidak seharusnya berlaku. Ini adalah laporan kelima dibuat oleh pihak saya berkaitan insiden seumpama,” katanya ketika ditemui semasa melawat mangsa banjir, di Kampung Baru Sengkang, di sini, hari ini.
Jian Boon katanya, berbaki beberapa hari kempen, semua pihak seharusnya tidak mengaibkan mana-mana calon dan mengamalkan politik matang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, perkara itu penting bagi memastikan segala proses PRU15 termasuk tempoh berkempen berjalan lancar.
“Ini cabaran saya. Bagaimanapun saya harap kalau mahu lawan, lawan cara yang betul dan lawan cara yang matang.
“Saya tahu jika di Kulai ini memang susah untuk saya mahu menang tetapi sebagai orang muda, saya tetap bersemangat. Saya tetap akan mencuba yang sehabis baik untuk PRU15 ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow, berkata pihaknya menerima laporan yang dibuat oleh Ketua Bilik Gerakan Parti BN pada jam 10 pagi tadi.
Katanya, laporan dibuat kerana bahan kempen calon BN Parlimen itu iaitu papan iklan dan dua banting di tepi Jalan Seni berhampiran pekan Senai disembur cat hitam.
“Pegawai penyiasat kes bersama sepasukan anggota Bahagian Jenayah IPD Kulai telah ke lokasi dan mendapati papan iklan serta dua banting parti yang tertera gambar calon BN P.163, Chua Jian Boon disembur cat dengan perkataan ‘rat’.
“Siasatan kes masih dijalankan oleh pihak polis,” katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
BHonline-


