BUTTERWORTH : Datuk Seri Anwar Ibrahim secara sinis, bergurau bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad adalah orang pertama yang akan ‘demam’, sekiranya beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Anwar yang juga Presiden PKR serta Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu tetap mendoakan kesihatan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) kerana mereka pernah menjadi sekutu ketika PRU14.
“Beliau (Dr Mahathir) menjadi orang pertama yang akan ‘demam’ kalau saya mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri pada 20 November nanti.
“Bagaimanapun, saya tetap mendoakan beliau sentiasa sihat,” katanya secara berseloroh ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini, malam tadi.
Anwar mendakwa, selama ini beliau sudah banyak bersabar dengan bekas Perdana Menteri itu, mendapati Dr Mahathir terus mencampuri urusannya.
“Paling terbaru beliau (Dr Mahathir) tidak menyokong PH kerana kata kita bekerjasama dengan Zahid (Presiden UMNO).
“Bila saya berbincang dengan Zahid? Bila saya cakap begitu (pakatan antara PH dan UMNO)? Jika ada mana buktinya?
“Saya telah banyak bersabar dengan beliau (Dr Mahathir) tetapi sekarang beliau mengatakan bahawa beliau tidak menyokong PH kerana kita bekerjasama dengan Zahid,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar di hadapan penyokongnya, mendakwa beliau tidak pernah mengadakan sebarang pakatan atau rundingan bersama Calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding untuk kerusi Parlimen Bagan Datuk itu.
Tegasnya, dakwaan yang dilemparkan kepadanya adalah berbentuk fitnah semata-mata.
“Yang mula kata kita (Anwar) runding dengan Zahid, dengan UMNO ni adalah Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin – Pengerusi Perikatan Nasional) dengan Ustaz Hadi (Tan Sri Abdul Hadi Awang – Presiden PAS).
“Ustaz Hadi dengan serban dan jubah tapi fitnah orang. Sepatutnya Ustaz Hadi menjaga adab dan akhlak selaras dengan imejnya sebagai seorang ulama yang beliau tidak sepatutnya berkelakuan seumpama itu,” katanya.
-Berita Harian


