Bangi : Kerusi Parlimen Bangi menyaksikan pertembungan lapan penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) pada 19 November ini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Pegawai Pengurus Pilihanraya P102 Bangi Dr Ani Ahmad mengisytiharkan keputusan penamaan lapan calon yang sah bertanding di Parlimen Bangi, 10.30 pagi.
Calon berkenaan ialah Muhammad Nazrul Hakim Md Nazir dari Perikatan Nasional (PN), Jamal Hisham Hashim dari Bebas, Hoh Lee Lee dari Barisan Nasional (BN) dan Fauzi Hasimdari calon Bebas.
Turut sah bertanding di Parlimen Bangi ialah calon Bebas iaitu Suthan Mookiah, Chee Chee Meng dari Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syahredzan Johan dari Pakatan Harapan (PH) dan Anuar Salleh dari Gerakan Tanah Air (GTA).
Ani berkata, pihaknya mengesahkan menerima lapan percalonan dengan tiga daripadanya adalah calon daripada parti Bebas.
“Setelah semakan, kami berpuas hati dengan dokumen penamaan calon dan tiada kertas ditolak, “katanya.
Sebelum ini pada 9 Mei lalu, penyandang Ahli Parlimen Bangi Dr Ong Kian Ming mengumumkan untuk tidak menawarkan dirinya sebagai calon dalam PRU-15 dan melantik Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP iaitu Syahredzan Johan sebagai calon PRU-15.
Ong meraih majoriti besar sebanyak 68,768 undi, menewaskan pencabarnya Shafie Ngah dari Pas yang memperoleh 33,789 undi, Liew Yuen Keong dari BN (19,766 undi) dan calon Parti Rakyat Malaysia, Dennis Wan (215).
-Harian Metro


