KUALA LUMPUR : Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini mengumumkan senarai penuh calonnya yang akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen dan dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Ikuti Mynewshub: Telegram
Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, beliau akan bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Ampang di Selangor, manakala Presiden PBM, Datuk Larry Sng disenaraikan sebagai calon Parlimen Julau di Sarawak.
Selain itu, Zuraida yang digelar ‘Ibu Bangsa Malaysia’ oleh PBM berkata, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Dr Santhara Kumar dipertaruhkan di Parlimen Segamat, Johor.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lembah Jaya, Haniza Mohamed Talha akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Selangor, dan ADUN Sementa, Dr Daroyah Alwi di Parlimen Kapar, Selangor,” katanya pada sidang media sempena Penyerahan Watikah Pencalonan Parlimen Kapar PBM yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook parti itu, hari ini.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu juga mengumumkan dua ahli perniagaan akan bertanding pada PRU15 mewakili PBM, iaitu Dayang Rusimah @ Raynie Mohd Din serta Alus Kassim masing-masing bagi kerusi Parlimen Labuan dan Sekijang di Johor.
Berhubung calon PBM pada peringkat DUN pula, Zuraida berkata, Bryan Yong Wu Sean, 25, berkelulusan undang-undang, akan bertanding di kerusi DUN Tronoh, Perak, manakala ahli perniagaan, Nazmahwati Walli di DUN Bugaya, Sabah.
-Berita Harian


