KUALA LUMPUR – Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa mendedahkan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat mengalami muntah-muntah sebelum perlawanan malam tadi.
Justeru, kata beliau, Khairul Fahmi dan semua pemain Kelantan yang lain kini diberi rehat sehingga akhir bulan ini.
“Kepada pemain mereka diberi cuti rehat hingga akhir bulan.Austin Amutu jatuh sakit saat akhir dan terpaksa dimasukkan “AIR/ON DRIP” dan APEK (Khairul Fahmi) pula muntah-muntah sebelum perlawanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Annuar dalam pada itu mengakui beliau berasa sedih dan hiba di atas kegagalan pasukannya menjuarai Piala FA 2015 malam tadi.
Beliau bagaimanapun menzahirkan rasa bangga ke atas penyokong Kelantan kerana memberi sokongan padu ke atas pasukan itu walaupun tewas kepada LionsXII dengan jaringan 3-1.
“Saya tak mahu komen apa apa tentang perlawanan. Bagi saya kita perlu terus pandang ke depan untuk terus menongkah arus melakar sejarah kita sendiri. Bagi saya rakyat dan bumi Kelantan tetap gah bila kita sanggup berusaha dan kuat bekerja,” katanya.
Kelantan tewas kepada pasukan LionsXII dengan jaringan 3-1 pada aksi akhir Piala FA 2015 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. – Mynewshub.cc
https://youtu.be/rOCRBYHeomQ

