Kuala Lumpur : Polis menyelamatkan seorang lelaki warga Palestin, sehari selepas diculik oleh individu yang menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire di Jalan Yap Kwan Seng, di sini pada 29 September lalu.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata, mangsa yang berusia 31 tahun diselamatkan selepas pihaknya menahan 18 individu dalam operasi berasingan di Kuala Langat, Ampang, Beranang di Selangor dan Melaka bermula 29 September hingga semalam.
“Kesemua 18 individu yang ditahan berusia antara 21 hingga 42 tahun disyaki berperanan menculik dan menyembunyikan mangsa.
“Siasatan mendapati mangsa masuk ke negara ini pada 21 September lalu sebagai pelancong dan dipercayai tinggal di Eropah,” katanya kepada pemberita pada majlis pelupusan barang kes dadah di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.
Azmi berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti motif penculikan dan tidak menolak kemungkinan mangsa adalah ahli perniagaan.
Beliau berkata, pemeriksaan mendapati tujuh individu yang ditahan mempunyai rekod jenayah membabitkan kes penipuan dan empat daripadanya positif dadah jenis syabu.
Menurutnya, kesemua individu yang ditahan kini direman sehingga 18 Oktober dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961.
Terdahulu, Azmi pada sidang media berkata, syabu antara dadah yang merekodkan rampasan serta tangkapan tertinggi di Kuala Lumpur menerusi statistik dicatatkan dari 2005 hingga 2021 dianggarkan bernilai RM10.85 juta.
Selain itu, beliau berkata, pelupusan dadah turut membabitkan antaranya dadah jenis methapatamine, kanabis, air ketum dan ketamin membabitkan 2,894 kertas siasatan.
“Anggaran berat keseluruhan dadah yang dilupuskan adalah 224,638 gram dan 139,295 mililiter serta dianggarkan bernilai RM16.89 juta,” katanya.
-Harian Metro


