KULIM: Impian seorang lelaki untuk memiliki jongkong emas dibeli melalui sebuah laman web musnah apabila emas bernilai lebih RM10,000 itu didapati ‘ghaib’ ketika berada di premis syarikat penghantaran, di sini.
Ikuti Mynewshub: Telegram
Berikutan itu, juruteknik berusia 33 tahun berkenaan membuat satu laporan polis pada Ahad lalu kerana curiga dan mengesyaki jongkong emas dibelinya, dicuri ketika dalam simpanan di premis terbabit.
Menurut sumber, mangsa yang menetap di Pulau Pinang memberitahu dia pada mulanya melayari laman web sebuah syarikat untuk membuat pembelian emas ketika berada di rumahnya pada 8 Ogos lalu.
“Mangsa mendakwa berurusan dengan kakitangan wanita syarikat itu sebelum bersetuju membeli emas seberat 40 gram (g) berharga RM10,570. Selepas segala proses selesai, mangsa membayar keesokannya melalui transaksi ke akaun bank didaftar atas nama sebuah syarikat,” katanya.
Sumber berkata, kakitangan wanita terbabit yang berurusan dengan mangsa sepanjang proses pembelian kemudian memberikan ‘tracking number’ untuk memudahkan lelaki itu membuat semakan ketika kepingan emas dibelinya dihantar melalui kiriman kurier.
“Mangsa membuat semakan pada 13 Ogos lalu dan mendapati barang dibelinya sudah tiba di pejabat syarikat penghantaran terbabit. Bagaimanapun, dia yang mahu mengambil barang dibelinya kemudian dimaklumkan ia tiada dalam simpanan di premis itu,” katanya.
Katanya, mangsa memberi peluang kepada kakitangan syarikat penghantaran terbabit untuk mencari barang miliknya itu, namun kecewa apabila menerima jawapan sama daripada pekerja yang memaklumkan ia tiada dalam simpanan mereka dan gagal ditemui.
“Selepas lebih sebulan bersabar, mangsa akhirnya membuat laporan polis kerana mengesyaki barang miliknya itu kemungkinan dicuri,” katanya.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Redzuan Salleh ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian terbabit dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan.
BHonline-


