SHAH ALAM – Bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew mengaitkan isu larangan penternakan babi di negeri itu dengan ketidakhadiran ahli DAP pada konvensyen tahunan parti berkenaan, Ahad lalu.
Menerusi hantaran di media sosial, Ronnie mengulas perkongsian seorang pengguna media sosial dikenali sebagai Sid yang mempersoalkan kehadiran ahli DAP pada Konvensyen DAP Selangor, 22 November lalu.
Beliau membangkitkan kemungkinan larangan penternakan babi menjadi faktor terbesar menyebabkan ahli parti itu tidak berminat menghadiri konvensyen berkenaan.
“Cuba teka apakah faktor terbesar yang mungkin menyebabkan ahli DAP Selangor tidak peduli untuk menghadiri konvensyen tahunan parti mereka pada Ahad? Larangan ladang babi di Selangor,” dakwanya.
Dakwa Ronnie Liu, isu berkenaan turut meninggalkan kesan negatif dan menimbulkan sentimen pahit dalam kalangan ahli akar umbi DAP.
Beliau mendakwa ahli akar umbi parti itu begitu kecewa sehingga tidak mengetahui bagaimana hendak berdepan dengan penyokong mereka.
“Mereka benar-benar kecewa. Mereka tidak tahu bagaimana hendak berdepan dengan penyokong mereka. Tidak mengapa jika anda tidak mempercayainya,” dakwanya lagi.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dilaporkan menegur tahap kehadiran perwakilan pada Konvensyen DAP Selangor selepas mendapati banyak kerusi kosong ketika beliau menyampaikan ucapan.
Bagaimanapun, dakwaan Ronnie Liu bahawa isu larangan penternakan babi menjadi faktor ketidakhadiran ahli DAP merupakan pandangan beliau sendiri. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Sosial Ronnie Liu Tian Khiew


