PUTRAJAYA – Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri RS Thanenthiran menegaskan bahawa kesetiaan dan sokongan beliau kepada Datuk Seri Najib Razak tidak pernah berubah.
Beliau berkata, mereka menghormati keutamaan yang ditetapkan Najib dan akan terus berdiri teguh bersama bekas Perdana Menteri itu dalam menghadapi segala dugaan.
Thanenthiran menerusi hantaran di media sosial berkata, beliau bersama penyokong Najib hadir ke Mahkamah Persekutuan di Putrajaya semalam bagi memberikan sokongan moral.
Namun, sebelum mereka sempat mengambil tempat di galeri awam, peguam Najib memohon menarik balik prosiding berhubung saman RM1.9 juta terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Menurutnya, panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Hashim Hamzah membenarkan permohonan tersebut.
Katanya, Najib mengambil keputusan untuk tidak meneruskan prosiding berkenaan bagi memberikan tumpuan kepada perkara-perkara lain yang jauh lebih besar dan mendesak.
Najib turut bersetuju membayar kos sebanyak RM10,000 kepada pihak Tommy Thomas.
“Apa pun perkembangan hari ini, kesetiaan dan sokongan kami kepada Bossku tidak pernah berubah. Kami menghormati keutamaan yang telah beliau tetapkan dan akan terus berdiri teguh bersama beliau.
“Semoga Datuk Seri Najib terus diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi segala dugaan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial R.S. Thanenthiran
