KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau menitipkan beberapa panduan kepada pelawak antarabangsa, Trevor Noah mengenai bahan gurauan yang boleh dibawanya ke pentas malam ini, sambil berharap tiada pihak yang tersinggung.
Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) turut berseloroh bahawa orang ramai boleh mengadakan kutipan dana secara ‘crowdfunding’ sekiranya berlaku sesuatu susulan persembahan pelawak berkenaan.
“Saya juga sempat titip beberapa panduan tentang bahan gurauan yang boleh dibawa ke pentas malam ini. Harap tak ada yang terasa!
“Apa pun, jangan risau Trevor, kalau apa-apa jadi malam ini, kita ‘crowdfunding’ ramai-ramai!” katanya sambil menyertakan emoji ketawa.
Kenyataan berseloroh mengenai ‘crowdfunding’ itu menarik perhatian kerana dibuat ketika isu kutipan dana bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak membayar denda RM50 juta menjadi perhatian umum.
Bagaimanapun, Anwar tidak menyebut nama Najib secara langsung dalam hantaran tersebut.
Terdahulu, Anwar memaklumkan beliau berbesar hati menerima kunjungan Trevor dan berpeluang berbual mengenai pelbagai perkara dalam suasana santai.
“Seronok terima kunjungan Trevor Noah hari ini, kami sempat bicara soal politik, humor dan macam-macam cerita yang diselang-seli gelak tawa,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Anwar Ibrahim


