KUALA LUMPUR – Peguam dan aktivis politik, Faizal Rahman memuat naik semula hantaran lama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah menggesa polis menghentikan tekanan terhadap Datuk Seri Rafizi Ramli pada September 2022.
Menerusi Facebook, Faizal berkongsi tangkap layar beberapa kenyataan Anwar bertarikh 4 September 2022, ketika beliau masih menjadi Ketua Pembangkang, yang mempertahankan Rafizi daripada tindakan siasatan polis.
Dalam hantaran berkenaan, Anwar dilihat menggesa Ketua Polis Negara menghentikan segala bentuk tekanan dan gangguan terhadap Rafizi.
“Saya menggesa Ketua Polis Negara untuk segera menghentikan segala bentuk tekanan dan gangguan terhadap saudara Rafizi Ramli,” menurut kenyataan lama Anwar itu.
Anwar ketika itu turut menyifatkan tindakan polis merampas telefon bimbit Rafizi bagi siasatan berkaitan projek kapal tempur pesisir (LCS) sebagai keterlaluan.
Beliau juga menegaskan bahawa amalan dua darjat tidak sepatutnya berlaku dan siasatan perlu dijalankan secara telus tanpa tekanan.
Mengulas perkembangan terbaharu siasatan terhadap Rafizi, Faizal secara terbuka mengecam Anwar dan mempersoalkan pendiriannya selepas menjadi Perdana Menteri.
Semalam, Rafizi yang juga pengasas parti BERSAMA memaklumkan beliau dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman pada pukul 10 pagi, Selasa (3 November), bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan.
Siasatan itu berkaitan ceramah Rafizi di Selayang pada 20 Oktober lalu yang menyentuh isu mafia korporat dan dakwaan rasuah membabitkan seorang pemimpin PKR. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Faizal Rahman


