MELAKA – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah berkongsi pengalaman ada pengunjung pasar malam sudah menyapanya dengan panggilan Yang Berhormat (YB) ketika beliau turun berkempen.
Bagaimanapun, Mukhlis Mubin menjelaskan bahawa beliau masih belum bergelar wakil rakyat, namun berharap sapaan tersebut menjadi doa untuknya.
“Ada juga yang menyapa dan memanggil saya YB. Saya jawab, belum lagi.
“Insya-Allah, mudah-mudahan panggilan itu menjadi doa. Diberi peluang menjadi Yang Berkhidmat (YB) untuk semua,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau berkongsi pengalaman itu selepas turun bertemu masyarakat setempat di Pasar Malam Permatang bagi mendekati peniaga dan mendengar sendiri keadaan perniagaan mereka.
“Seronok dapat turun ke Pasar Malam Permatang, bertanya tentang jualan dan mendengar sendiri cerita penjaja dalam kalangan orang kita,” katanya.
Dalam pada itu, Mukhlis Mubin berkata, beliau percaya DUN Kuala Linggi mempunyai potensi besar untuk dibangunkan, khususnya dalam memperluas peluang ekonomi dan perniagaan penduduk setempat.
Menurutnya, pelbagai usaha boleh dilaksanakan bagi merancakkan aktiviti ekonomi serta membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat Kuala Linggi untuk berniaga.
“Saya percaya DUN Kuala Linggi mempunyai potensi yang cukup besar untuk dibangunkan. Banyak yang boleh kita usahakan, banyak yang boleh kita hidupkan peluang untuk orang Kuala Linggi berniaga,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada penduduk yang menyapanya serta mendoakan kejayaannya sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Mukhlis Mubin


