KUALA LUMPUR – Kerajaan Madani akan terus memperkukuh integriti perkhidmatan awam serta menutup ruang ketirisan wang awam dan salah guna kuasa, tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, perkara itu antara tumpuan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) yang dipengerusikannya hari ini, khususnya berkaitan pengurusan Badan Berkanun Persekutuan.
Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak mencukupi, sebaliknya perlu disertai pembudayaan integriti dan tatakelola baik secara berterusan dalam sektor awam, swasta serta masyarakat.
“Setiap ringgit wang awam adalah amanah rakyat yang mesti dijaga, dan setiap kuasa yang diberikan mesti digunakan untuk menjamin kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Anwar berkata, mesyuarat turut bersetuju supaya kajian undang-undang dilaksanakan bagi merangka dasar, hala tuju tadbir urus serta draf Rang Undang-Undang Khairat bagi mengawal selia entiti amanah dan pendanaan awam.
Langkah itu, katanya, penting bagi memastikan dana yang diamanahkan kepada entiti terbabit diurus secara telus dan bertanggungjawab. Cadangan mewujudkan kerangka perundangan berkaitan khairat sememangnya telah melalui proses kajian kerajaan sebelum ini.
Dalam pada itu, JKKTN turut bersetuju dengan cadangan pelaksanaan Pembudayaan Nilai Perkhidmatan Awam.
Dasar bagi Rang Undang-Undang Badan Berkanun dan Entiti Kawalan (Tadbir Urus Kewangan) pula akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri tahun ini bagi memperkukuh disiplin dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan kewangan.
Selain itu, mesyuarat bersetuju dengan tujuh resolusi yang dibentangkan pada Persidangan Penyelidikan Tatakelola, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan Kali Kelima pada 25 September lalu. – MYNEWSHUB


