KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meluahkan rasa kesal apabila masih terdapat pelajar universiti daripada keluarga miskin yang terpaksa berhutang dan berdepan kelaparan ketika menuntut ilmu.
Anwar berkata, beliau sendiri menerima keluhan daripada mahasiswa yang memaklumkan mereka mahu meneruskan pengajian, namun berdepan kesukaran mendapatkan makanan akibat kekangan kewangan.
Justeru, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memberi bayangan kerajaan akan memberi perhatian terhadap masalah berkenaan menerusi Belanjawan yang akan diumumkan kelak.
“Ada anak-anak universiti yang kata, kita nak belajar tapi kita lapar. Kita tumpukan. Nanti saya umum masa belanjawan nanti.
“Tak boleh umum semua hari ini. Anak-anak miskin, tak mampu, terpaksa berhutang. Hal-hal ini kita kena dengar,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Forum Ekonomi Belia.
Terdahulu, Anwar menegaskan generasi muda perlu diberikan ruang untuk meneroka bidang dan disiplin baharu kerana merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan.
Menurutnya, tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan ruang serta meningkatkan mutu pendidikan bagi memastikan generasi muda mempunyai asas dan kemahiran yang diperlukan.
“Tanggungjawab saya, beri ruang. Beri ruang. Angkat mutu pendidikan. Penguasaan Bahasa Melayu dengan mantap. Bahasa Inggeris.
“Anak-anak yang menguasai Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Bahasa Arab, Bahasa Perancis, Bahasa Jerman, silakan. Beri ruang kepada mereka,” katanya. – MYNEWSHUB


