KUALA LUMPUR – Penganalisis politik, Eric Lim Sian See tampil mempertahankan dirinya susulan kontroversi berhubung komen mengenai perkataan Arab yang digunakan Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan 2027, sambil menegaskan beliau sama sekali tidak berniat menghina al-Quran.
Menerusi hantaran di media sosial, Eric Lim menjelaskan bahawa komennya hanya merujuk kepada penggunaan perkataan ‘Lighad’ yang disenaraikan oleh Sinar Harian sebagai antara perkataan unik dalam ucapan belanjawan berkenaan.
“Saya tidak menghina al-Quran. Komen saya merujuk kepada perkataan ‘Lighad’ yang disenaraikan oleh Sinar Harian sebagai antara ‘perkataan unik’ dalam ucapan Belanjawan 2027, dengan maksud ‘untuk masa depan’.
“Dalam konteks itu, saya mengulas penggunaan perkataan, bukannya memperlekeh ayat suci,” katanya.
Kontroversi itu dipercayai tercetus susulan hantaran media sosial Eric Lim mengenai pengunaan perkataan ‘Lighad’ oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2027.
Menurut Eric Lim, penggunaan sesuatu perkataan bahasa Arab dalam al-Quran tidak semestinya menjadikan perkataan berkenaan sebagai istilah khusus agama.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Anwar menggunakan perkataan yang didakwanya sukar difahami sebahagian masyarakat dalam ucapan belanjawan yang sepatutnya disampaikan menggunakan bahasa mudah.
“Siapa suruh PMX guna perkataan yang ramai orang awam tak faham dalam ucapan bajet Kalau maksudnya ‘untuk masa depan’, sebut sajalah ‘untuk masa depan’. Bajet untuk rakyat faham,” katanya.
Dalam pada itu, Eric Lim mencabar pihak yang menuduhnya menghina al-Quran supaya menjelaskan secara khusus bahagian komennya yang dianggap menghina kitab suci umat Islam.
“Kepada mereka yang menuduh saya, sila nyatakan dengan jelas: ayat mana dalam komen saya yang menghina al-Quran, dan bagaimana ia menghina?
“Jangan sekadar lempar tuduhan berat, kemudian bawa masuk kaum saya seolah-olah itu sudah menjadi bukti,” tegasnya.
Malah, beliau turut menyentuh kemungkinan dikenakan tindakan pihak berkuasa susulan kontroversi tersebut.
“Kalau sampai saya ditangkap kerana komen ini dan perkara itu dilaporkan media, yang patut malu ialah PMX (Anwar), bukan saya,” katanya.
Terdahulu, Eric menerima kecaman daripada beberapa pihak termasuk Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali dan pemimpin DAP yang menganggap komennya sebagai tindakan mempersendakan ayat al-Quran.
Kedua-dua pihak turut menyuarakan hasrat untuk membuat laporan polis berhubung perkara berkenaan.
Bagaimanapun, Eric Lim kekal dengan pendiriannya bahawa kritikan tersebut dibuat dalam konteks penggunaan bahasa dalam ucapan belanjawan dan bukannya bertujuan menghina mana-mana ayat suci al-Quran. – MYNEWSHUB
Sumber Info: Akaun Media Eric See-To – Lim Sian See



