KUALA LINGGI – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Muhammad Mukhlisul Mubin Julasapiyah mengenakan busana tradisional Melayu berwarna merah jambu ketika hadir ke Pusat Penamaan Calon pagi ini.
Muhammad Mukhlisul dilihat mengenakan persalinan songket bercorak dengan samping putih, lengkap bertanjak serta perhiasan dokoh di dada ketika hadir bersama penyokong PH.
Dalam pada itu, Muhammad Mukhlisul menerusi hantaran di media sosial pagi ini turut berkongsi mengenai restu kedua-dua ibu bapanya sebagai sumber kekuatan untuk menggalas tanggungjawab sebagai calon pilihan raya.
“Berbekalkan restu Ummi dan Abah, langkah terasa lebih kuat, beban digalas terasa lebih ringan,” katanya.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk menabur bakti kepada Kuala Linggi yang disifatkannya sebagai tanah yang telah membesarkan dan membentuk dirinya.
“Tiada impian yang lebih besar selain melihat tanah yang membesarkan diri ini terus terbela.
“Cukuplah diberi kesempatan untuk berbakti, menyumbang dan membalas jasa bumi Kuala Linggi yang telah membentuk siapa diri ini,” katanya. – MYNEWSHUB


