KUALA LUMPUR – Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden mempersoalkan sama ada sekolah masih boleh dianggap sebagai kawasan selamat untuk anak-anak susulan beberapa tragedi yang berlaku di institusi pendidikan sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, persoalan itu timbul susulan laporan kematian seorang pelajar Tingkatan Empat di sebuah sekolah di daerah Yong Peng, Johor, yang menurutnya sekali lagi menggemparkan institusi pendidikan negara.
“Perkara utama yang menjadi tanda tanya di sini adalah apakah sekolah masih lagi merupakan kawasan selamat untuk anak-anak didik hadir dan belajar?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Afnan Hamimi, kejadian buli serta kes kematian yang dilaporkan dari semasa ke semasa menimbulkan kebimbangan terhadap tahap keselamatan di institusi pendidikan.
Sehubungan itu, Pemuda PAS menggesa siasatan segera dan menyeluruh dilakukan berhubung kes kematian pelajar berkenaan bagi mengetahui keadaan sebenar yang membawa kepada kejadian tersebut.
Pada masa sama, beliau menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) mengenal pasti punca masalah yang berlaku dalam institusi pendidikan ketika ini, khususnya berkaitan aspek akhlak, moral dan disiplin murid.
Afnan Hamimi turut membangkitkan persoalan sama ada batas ketegasan yang dikenakan terhadap golongan pendidik ketika ini mempunyai kaitan dengan masalah disiplin dalam kalangan pelajar.
“Tepuk dada tanyalah selera,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Afnan Hamimi Taib Azamudden


