KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyindir kenyataan seorang pemimpin politik Indonesia yang mendakwa negara itu membekalkan oksigen kepada Malaysia ketika Kuala Lumpur masih diselubungi jerebu.
Menerusi rakaman video berlatarbelakangkan Menara Kuala Lumpur, beliau secara sinis mempersoalkan keberadaan oksigen yang didakwa dibekalkan Indonesia ketika mercu tanda ibu negara itu hampir tidak kelihatan akibat jerebu.
“Mana oksigen? Oksigen Indonesia punya. Tuan-tuan, Kuala Lumpur kan ni penuh dengan oksigen daripada Indonesia.
“Oksigen tu datang daripada Indonesia. Yang kita dah sedut di KL ni rupanya daripada Indonesia. Oksigen tu telah pun menyebabkan Menara KL kat belakang tu hampir hilang. Indonesia bagi oksigen kat kita. Aduh,” sindirnya.
Afnan Hamimi turut menunjukkan keadaan sekitar Parlimen yang masih diselubungi jerebu sambil mengkritik kenyataan pemimpin politik negara jiran itu.
“Jerebu tu lah yang ada seorang pemimpin politik daripada Indonesia tu cakap Indonesia membekalkan oksigen kepada Malaysia.
“Lain kali nak masuk politik ni bagi cerdik lah sikit. Kecewa lah ada orang-orang politik yang macam ni,” katanya.
Beliau turut menggesa Indonesia memandang serius masalah jerebu yang berlarutan sejak puluhan tahun akibat kebakaran hutan.
Menurutnya, pembakaran terbuka bukan sahaja menjejaskan kesihatan rakyat Malaysia, malah turut memudaratkan penduduk Indonesia sendiri, khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan berpenyakit.
Afnan Hamimi berkata, Parlimen turut meluluskan satu usul yang dibahaskan di Kamar Khas berhubung isu berkenaan.
“Masalah jerebu ni puluhan tahun. Daripada kita kecil, daripada umur saya kanak-kanak sampailah hari ni masalah jerebu ni tak selesai,” katanya.
Beliau mengakhiri rakaman itu dengan sekali lagi menyindir kenyataan mengenai bekalan oksigen berkenaan. “Oksigen, oksigen. Mana oksigen? Oksigen.” – MYNEWSHUB


