SEREMBAN – Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memfailkan Saman Pemula di Mahkamah Tinggi Malaya di Seremban bagi mencabar keabsahan pewartaan pembatalan pelantikan mereka sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan (MMKN)
Menurut kenyataan media firma guaman Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak yang tular di media sosial hari ini, saman berkenaan difailkan pada 5 Oktober lalu terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan kerajaan Negeri Sembilan.
Firma itu berkata, tindakan berkenaan mencabar keabsahan pewartaan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan bertarikh 24 September 2026 berhubung pembatalan pelantikan 10 Ahli MMKN terbabit.
Menerusi saman tersebut, antara perkara yang dimohon adalah deklarasi Mahkamah Tinggi mengenai sama ada pewartaan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan itu sah dan berkuat kuasa apabila pembatalan pelantikan 10 Ahli MMKN oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dibuat tanpa nasihat Menteri Besar.
Menurut kenyataan itu, perkara berkenaan dibangkitkan berdasarkan peruntukan Perkara XXXVIII(5) yang dibaca bersama Perkara XL(1), XL(1A) dan XL(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Saman Pemula itu turut disokong dengan 10 afidavit sokongan daripada semua ADUN berkenaan serta satu afidavit tambahan daripada Menteri Besar Negeri Sembilan.
Dalam pada itu, firma guaman berkenaan menyeru orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai saman tersebut sehingga ia diputuskan mahkamah bagi mengelakkan timbulnya isu sub judice. – MYNEWSHUB
