KUALA LUMPUR – Kadar tambang KLIA Ekspres dan KLIA Transit perjalanan sehala bagi penumpang dewasa antara KL Sentral dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang akan dinaikkan daripada RM55 kepada RM65 mulai 1 Januari tahun depan.
Menerusi satu kenyataan media, Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) memaklumkan, pelarasan tambang itu adalah selaras dengan Perjanjian Konsesi ERL dengan kerajaan.
“Tambang standard sehala bagi penumpang dewasa untuk perjalanan antara KL Sentral dan KLIA (Terminal 1 dan Terminal 2) akan dinaikkan daripada RM55 kepada RM65, manakala tambang bagi semua sektor lain turut diselaraskan sewajarnya.
“Pelarasan itu dibuat selepas 11 tahun. Kali terakhir tambang diselaraskan pada 2016 susulan peningkatan ketara kos operasi dan penyelenggaraan,” kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan tersebut, pelarasan tambang itu akan menyokong usaha berterusan ERL untuk mengekalkan serta menyediakan perkhidmatan rel yang boleh dipercayai, cekap dan berkualiti kepada penumpang.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ERL, Datin Noormah Mohd Noor berkata, pelarasan itu mencerminkan realiti kos operasi dan penyelenggaraan perkhidmatan rel lapangan terbang berkualiti tinggi.
“Ia juga memastikan ERL terus berada pada kedudukan kukuh untuk memenuhi keperluan penumpang dalam jangka panjang,” katanya. – MYNEWSHUB
