KUALA LUMPUR – Laman media sosial penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT), Boys Of Straits menafikan dakwaan bahawa penyokong pasukan itu menjadi punca kekecohan ketika perlawanan futsal membabitkan JDT dan Pahang.
Menerusi satu hantaran di media sosial, Boys Of Straits turut mempertikaikan laporan sebuah media yang didakwa menggambarkan penyokong JDT menyerang penyokong Pahang Rangers ketika perlawanan berkenaan.
“Bila masa pula kami menyerang penyokong Pahang Rangers semasa perlawanan futsal?
“Kalau nak melapor, biar benar, bukan buat tulisan nak memburukkan penyokong JDT semata-mata demi menaikkan komen atau
likes,” katanya.
Menurut laman penyokong itu, mereka memahami berita berkaitan JDT sering mendapat perhatian ramai, namun menegaskan laporan mengenai kejadian tersebut perlu berdasarkan fakta yang tepat.
Boys Of Straits kemudian mempersoalkan pihak yang sebenarnya mencetuskan ketegangan dengan mendakwa rasa tidak puas hati mula timbul ketika penyokong JDT meraikan gol penyamaan yang menjadikan kedudukan 1-1.
“Siapa sebenarnya yang mulakan kekecohan semalam? Siapa yang timbul rasa tak puas hati ketika kami meraikan gol penyamaan apabila skor 1-1?
“Takkan kami perlu berdiam bila skor gol? Kemudian diajaknya bergaduh di depan stadium?” soalnya.
Boys Of Straits turut mendakwa kumpulan penyokong JDT kemudiannya diserbu di kawasan tempat duduk dalam stadium sebelum bas yang membawa mereka dikepung di luar venue.
Menurutnya, rakaman video yang dikongsikan didakwa menunjukkan penyokong tuan rumah menyerbu kawasan tempat duduk penyokong JDT selain berkumpul di sekitar bas mereka.
“Siapa yang ambush dan serang tempat duduk kami di dalam stadium dan kepung bus kami kat luar?
“Video-video ini jelas menunjukkan ponyokong tuan runah menyerbu ke tempat duduk penyokong JDT dan juga berkumpul disekeliling bas kami,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Boys Of Straits

