SEREMBAN – Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim memaklumkan tidak ada keperluan untuk beliau mengemukakan senarai EXCO baharu kerajaan Negeri Sembilan kerana EXCO sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
Tegas beliau, mana-mana tindakan memberhentikan atau menamatkan keahlian seseorang EXCO yang dibuat tanpa nasihat atau permintaan daripada Menteri Besar merupakan satu kekhilafan dari sudut perundangan, tidak berperlembagaan, dan tidak mempunyai sebarang kuat kuasa undang-undang.
“Adalah ditegaskan bahawa YAB Menteri Besar tidak pernah dirujuk atau pada bila-bila masa menasihati berkenaan pemberhentian mana-mana EXCO Kerajaan Negeri Sembilan menurut Perkara 38(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
“Dengan itu tidak ada keperluan mengemukakan senarai EXCO yang baru kerana EXCO yang sedia ada masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
“Kerajaan Negeri Sembilan akan terus mempertahankan keluhuran perlembagaan demi memastikan kestabilan pentadbiran dan mandat rakyat sentiasa dipelihara berlandaskan lunas undang-undang yang sah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Ismail berkata, secara asasnya, sistem pentadbiran Negeri Sembilan ditegakkan di atas prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen. Berdasarkan Bahagian Kedua UUTKNS 1959, kuasa Kedaulatan Raja dalam hal pentadbiran negeri hendaklah dijalankan atas nasihat YAB Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
Menurut beliau, bagi mengelakkan sebarang kekhilafan tafsiran, implikasi perundangan berhubung perkara itu wajib diteliti secara harmoni dan menyeluruh seperti berikut:
1. Prinsip Kuasa Atas Nasihat : Menurut Perkara 40(1) UUTKNS 1959, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan hendaklah bertindak mengikut nasihat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan Menteri Besar dalam menjalankan fungsi pentadbiran (eksekutif) di bawah Bahagian Kedua Perlembagaan Negeri.
2. Had Kuasa Budi Bicara : Kuasa budi bicara yang diberikan kepada Raja dalam hal pentadbiran hanya merangkumi perkara-perkara yang dinyatakan secara bertulis di bawah Perkara 40(2) UUTKNS 1959. Kuasa untuk memberhentikan atau menamatkan tempoh jawatan EXCO secara bersendirian tidak termaktub dalam institusi budi bicara ini.
3. Keterikatan Perkara 38(5) UUTKNS 1959 dengan Nasihat Menteri Besar : Kuasa Raja untuk memperkenankan tempoh perjawatan seseorang EXCO di bawah Perkara 38(5) tidak boleh dibaca secara berasingan. Ia wajib dibaca bersama Perkara 38(4) dan Perkara 40(1). Ini bermakna, sebarang penamatan atau perubahan kedudukan barisan EXCO semasa pentadbiran berjalan hanya boleh berkuat kuasa atas nasihat atau permintaan rasmi daripada Menteri Besar. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Dato’ Ismail Bin Lasim


