KUALA LUMPUR – “Ada waktunya suara kita disalahertikan. Langkah kita dipersoalkan. Kesetiaan kita diuji. Jalan yang dilalui pula sentiasa hadir dengan pelbagai rencam”
Demikian hantaran Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh di media sosial hari ini sempena sempena ulang tahun ke-77 Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.
Menurut beliau, perjuangan Pemuda UMNO tidak pernah dijanjikan mudah, namun daripada segala ujian itulah terbentuknya siapa Pemuda UMNO pada hari ini.
Tambah beliau, Pemuda UMNO tidak dibesarkan oleh kesenangan, tetapi dibentuk oleh keberanian untuk terus berdiri ketika yang lain memilih berdiam dan hidup atas kesetiaan untuk terus bertahan ketika perjuangan tidak lagi menjanjikan pujian.
“Saya sentiasa percaya, jika mahu melihat kekuatan sesebuah bangsa, lihatlah kepada anak mudanya. Jika teguh prinsip mereka, jika berani langkah mereka dan jika utuh kesetiaan mereka – maka bangsa itu masih punya masa hadapan,” katanya.
Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau berkata, selama 77 tahun, Pemuda UMNO tidak sekadar menjadi penyambung usia parti sebaliknya penyambung nyawa sebuah perjuangan.
“Jangan kita hanya mewarisi nama perjuangan ini. Warisilah juga keberanian untuk memikul dan mempertahankannya. Selamat Ulang Tahun ke-77, buat sahabat-sahabat Pemuda UMNO Malaysia.
“Perjalanan ini mungkin tidak pernah mudah tetapi kita juga tidak pernah dibentuk untuk menyerah,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Akmal Saleh


