KUALA LUMPUR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang melahirkan rasa kesal berhubung dakwaan di media sosial terdapat penerima bakul makanan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Indera Mahkota yang didaftarkan sebagai anggota PKR tanpa pengetahuan mereka.
Menurutnya, beliau sebagai wakil rakyat daripada PKR menegaskan sama sekali tidak bersetuju sekiranya bantuan kepada rakyat dijadikan medium untuk mendapatkan keahlian atau sokongan politik.
“Sepanjang saya menjalankan amanah sebagai ADUN, prinsip saya jelas bahawa setiap bantuan hendaklah diberikan berdasarkan keperluan dan keadaan penerima, tanpa mengira latar belakang, kaum, agama mahupun kecenderungan politik.
“Penyertaan dalam parti politik seharusnya lahir daripada keyakinan terhadap idealisme, prinsip dan wawasan yang diperjuangkan, bukannya dipancing melalui bantuan kewangan, barangan atau apa-apa bentuk habuan,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Chun Kuang seterusnya meminta PKR menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya terdapat sebarang pelanggaran prinsip atau tatacara yang ditetapkan bagi memastikan segala tuduhan dapat diperjelaskan.
Kata beliau, PKR perlu memastikan bahawa bantuan kepada rakyat kekal sebagai tanggungjawab dan amanah, bukannya dijadikan alat politik.
“Pada masa yang sama, nama baik serta integriti parti hendaklah sentiasa dipelihara.
“Bantuan adalah hak mereka yang memerlukan. Keahlian parti pula mestilah lahir daripada keyakinan dan kesedaran, bukan kerana habuan,” katanya. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Chan Chun Kuang

