KUALA LUMPUR – Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bersetuju memberi cuti sementara kepada Timbalan Presiden parti itu, Nurul Izzah Anwar sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, MPP PKR membuat keputusan itu selepas membincangkan permohonan Nurul Izzah untuk mengundurkan diri dari
jawatan Timbalan Presiden.
“Namun setelah mendengar pandangan Nurul Izzah and pimpinan, MPP bersetuju untuk memberi cuti sementara kepada Nurul Izzah bermula selepas Kongres Nasional 2026 sehingga satu tarikh yang akan diumum,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Fahmi berkata, MPP PKR turut memutuskan supaya Naib Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden secara sementara.
Menurut beliau, MPP PKR juga bersetuju bahawa jawatan Pengarah Pilihan Raya PKR digalas sepenuhnya oleh Naib Presiden, Datuk
Seri Amirudin Shari.
Terdahulu, katanya, MPP PKR menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Negeri Johor dan Negeri Sembilan dan mengucapkan terima kasih kepada pasukan yang telah bekerja bertungkus lumus.
Tambah beliau, MPP PKR merakamkan penghargaan kepada Datuk Seri Aminuddin Harun, mantan Menteri Besar Negeri Sembilan di atas perkhidmatan yang cemerlang sepanjang dua penggal yang lalu.
“Berhubung Kongres Nasional 2026, Nurul Izzah akan merasmikan Kongres Wanita dan Angkatan Muda PKR pada 14 Ogos 2026.
“MPP turut meluluskan 3,533 orang anggota baharu bagi tempoh 12 Julai sehingga Ogos 2026 yang telah mendaftar secara dalam talian,” katanya. – MYNEWSHUB


