KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) Tampin, Datuk Mohd Isam Mohd Isa mempersoalkan mengapa pelan pemulihan Tabung Haji menyaksikan defisit agensi itu bertambah kepada RM13.2 bilion.
Menurut beliau, pelan pemulihan yang dilaksanakan adalah menerusi pemindahan aset Tabung Haji kepada Syarikat Bertujuan Khas (SPV) iaitu Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. (UJSB) pada 19 Disember 2018.
Beliau mempersoalkan apa yang sudah berlaku dengan pelan pemulihan tersebut dan sejauh mana UJSB berjaya menyelamatkan kedudukan kewangan Tabung Haji setakat ini.
“Bagaimanakah defisit berjumlah RM4.1 bilion yang dialami Tabung Haji pada 31 Disember 2017, yang dikaitkan dengan hibah atau dividen terlebih bayar oleh Tabung Haji, boleh berubah menjadi defisit sebanyak RM13.2 bilion di bawah UJSB?” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji dalam sidang khas di Dewan Rakyat semalam.
Beliau turut membangkitkan mengenai sukuk Siri 1 berjumlah RM12.5 bilion yang sepatutnya matang pada 29 Mei 2026, namun masih tidak dibayar sepenuhnya kepada Tabung Haji.
Malah, katanya, terdapat permintaan untuk penangguhan selama 10 tahun lagi yang akan menyebabkan masalah kewangan Tabung Haji berterusan sehingga tahun 2036.
“Ini bermakna, bukan kerajaan yang membantu memulihkan aset-aset Tabung Haji, tetapi duit simpanan para pendeposit telah digunakan untuk membantu kedudukan kewangan kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, Tabung Haji telah membantu lebih 1.5 juta umat Islam di Malaysia untuk menunaikan haji serta telah menyalurkan bantuan kewangan haji melebihi RM35 bilion sebelum ini.
Justeru, beliau mempersoalkan adakah legasi Tabung Haji untuk umat Islam tersebut mampu diteruskan dalam keadaan kewangan seperti itu.
“Hendak diharapkan dengan pelan pemulihan menerusi UJSB, keadaan hari ini nampaknya boleh digambarkan seperti ibarat tikus membaiki labu,” katanya.
Beliau berkata, matlamat Tabung Haji ditubuhkan untuk membantu umat Islam membuat simpanan secara patuh syariah bagi tujuan menunaikan ibadah haji ke Tanah Suci.
Katanya, sebelum tahun 2018 bakal jemaah haji hanya perlu mempunyai simpanan minimum RM1,300 untuk mendaftar haji, namun meningkat mendadak kepada RM15,000.
“Ini bukan kenaikan kecil, ini merupakan peningkatan lebih 11 kali ganda. Perkara ini perlu dilihat daripada perspektif pendeposit biasa.
“Bagi golongan rentan, RM15,000 bukan angka yang kecil. RM15,000 mengambil masa bertahun-tahun lamanya untuk dikumpulkan,” katanya.
Selain itu, beliau membangkitkan sejak tahun 2018, kadar agihan dividen Tabung Haji yang diumumkan masih belum melepasi paras lima peratus.
“Lebih membimbangkan, apabila kos sara hidup terus meningkat, kos menunaikan haji juga semakin tinggi, tetapi pulangan kepada pendeposit tidak sepadan.
“Jangan sampai kita hanya melihat pendeposit sebagai sumber dana kepada Tabung Haji, tetapi terlupa bahawa mereka juga wajar menikmati pulangan yang munasabah,” katanya. – MYNEWSHUB


