SHAH ALAM – Ahli Jawatankuasa Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Azrul Abu Hasan menyifatkan keputusan Barisan Nasional (BN) untuk mempertahankan 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai sesuatu yang wajar dan lumrah.
Menurut beliau, keputusan itu bukan didorong oleh sikap tamak kerusi, sebaliknya kerana 21 kerusi tersebut merupakan mandat yang diberikan rakyat kepada wakil rakyat BN yang telah berkhidmat di kawasan masing-masing.
Malah katanya, sehingga kini masih belum wujud sebarang perjanjian kerjasama politik rasmi antara BN dan Perikatan Nasional (PN), walaupun persefahaman telah dicapai di Negeri Sembilan.
“Perlu diingat belum ada lagi perjanjian kerjasama politik antara BN dan PN walaupun sudah berlaku persefahaman di Negeri Sembilan.
“Selagi perjanjian/piagam kerjasama politik belum dinoktahkan dan ditandatangani, sukar untuk berbincang ‘barter trade’ kerusi-kerusi,” katanya dalam satu hantaran di media sosial.
Beliau turut mengingatkan bahawa PRN Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang hanya dijangka berlangsung pada September 2028, justeru tiada keperluan untuk tergesa-gesa membincangkan soal pembahagian kerusi.
Azrul berkata, kemungkinan Perlis mengadakan pilihan raya lebih awal juga dilihat sukar berlaku walaupun pernah timbul spekulasi berkaitan sokongan terhadap Menteri Besarnya.
Sehubungan itu, beliau menggesa pihak yang menyokong agenda penyatuan ummah supaya bersikap rasional dan tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan pihak tertentu.
Beliau turut menamakan Tan Sri Annuar Musa dan Isham Jalil sebagai individu yang menurutnya mempunyai agenda tersendiri dan tidak semestinya berpaksikan kepada usaha penyatuan ummah.
Dalam masa sama, beliau menggesa semua pihak supaya bertenang serta menunggu keputusan rundingan antara pucuk pimpinan UMNO dan PAS, di samping menghormati kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.
Pada akhir kenyataannya, Azrul memaklumkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berada dalam keadaan sihat dan ceria. – MYNEWSHUB
Sumber Info/Foto: Akaun Media Sosial Azrul Abu Hasan


