KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) atas mandat yang diberikan rakyat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Beliau berkata, kemenangan itu merupakan amanah besar yang perlu dipikul sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan kesejahteraan rakyat Johor.
“Tahniah kepada BN atas mandat yang diberikan rakyat Johor. Semoga amanah ini dipikul dengan sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Menurut Anwar, selepas berakhirnya proses pilihan raya, semua pihak perlu mengetepikan perbezaan politik dan memberi tumpuan kepada usaha membangunkan Johor.
“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirainya. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat serta bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju,” katanya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Johor yang telah menunaikan tanggungjawab demokrasi, selain menghargai pengorbanan jentera parti yang bertungkus-lumus sepanjang kempen.
Anwar turut menegaskan semua calon Pakatan Harapan (PH), sama ada yang menang atau tewas, diminta meneruskan khidmat kepada rakyat.
“Tekad kami jelas, semua calon Harapan, tidak kira yang menang mahupun tewas, diminta untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Persekutuan kekal komited untuk memperkasakan agenda pembangunan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat Johor.
“Kerajaan Persekutuan juga kekal komited memastikan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat Johor terus diperkasa dan ditambah baik, Insya-Allah,” katanya. – MYNEWSHUB


