PILIHAN Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan menjadi pentas yang lebih mencabar dalam mengukur denyut nadi serta persepsi rakyat terhadap landskap politik semasa.
Sekiranya PH memenangi Negeri Sembilan, pemimpinnya mungkin menganggap ia tanda majoriti rakyat masih menerima baik pendekatan pentadbiran mereka.
Namun jika keputusan berpihak sebaliknya, ia bakal menjadi satu manifestasi dan reforandum rakyat mahukan perubahan drastik terhadap hala tuju politik negara.
Manifestasi tersebut akan bergema jauh melangkaui sempadan negeri.
‘Bangsa Johor’ telah pun bermuafakat melontarkan isi hati mereka menolak PH pada 11 Julai lalu, kini giliran ‘Waghih Nismilan’ menyatakan pendirian.
Tetapi persoalan terbesar apakah sikap politik ‘Waghih Nismilan’ sama dengan ‘Bangsa Johor’ kerana Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook menganggap Negeri Sembilan sebagai ‘homeground’ PH.
Ini bermaksud Negeri Sembilan bukan sekadar negeri yang mampu dipertahankan oleh PH, tetapi dianggap sebagai kubu penting yang menjadi ukuran kekuatan gabungan itu.
PRN Negeri Sembilan juga menjadi ujian besar buat ‘Waghih Nismilan’ kerana Negeri Sembilan bakal menjadi medan mengukur sejauh mana keberkesanan kemuafakatan BN dan PN.
Ia akan menguji sejauh mana pengundi Melayu mampu mencari titik persamaan demi mencapai matlamat politik bersama.
Selain itu melihat sejauh mana pengundi bukan Melayu bersedia untuk menerima formula itu atas nama kestabilan dan kemakmuran bersama.
Akhirnya, keputusan pada 1 Ogos nanti bukan hanya menentukan siapa membentuk kerajaan negeri, tetapi menjadi gambaran lebih luas tentang arah angin politik rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16. – MYNEWSHUB


