KEMENANGAN besar Barisan Nasional (BN) dalam PRN semalam membuktikan satu perkara iaitu Bangsa Johor mampu bersatu apabila melibatkan masa depan negeri sendiri.
Majoriti Melayu, Cina, India, Orang Asli dan pelbagai kaum lain di Johor memilih untuk bermuafakat memberi mandat besar kepada BN, sekali gus menolak percaturan politik yang tidak lagi mendapat tempat di hati rakyat.
Kempen yang mengaitkan undi BN dengan isu pembebasan Datuk Seri Najib Razak juga tidak berjaya mengubah pendirian pengundi Johor. Mereka lebih melihat kepada prestasi dan hala tuju negeri.
Malah, pengundi Cina dan India juga tidak terpengaruh dengan dakwaan bahawa mengundi BN bermakna memberi ruang kepada PAS.
PH mungkin menyangka sentimen tertentu mampu mengubah keputusan, namun Bangsa Johor nampaknya lebih matang dalam menilai antara retorik politik dan realiti pentadbiran.
Lebih menarik, cubaan menggambarkan pengundi luar Johor sebagai penentu kemenangan BN juga meleset.
Peratusan pulang mengundi bertambah, tapi pulang bukan untuk PH, tetapi kerana mahu menentukan masa depan Johor.
Keputusan ini menjadi isyarat jelas bahawa rakyat Johor tidak mudah dipengaruhi dengan kempen berasaskan ketakutan dan persepsi semata-mata.
Akhirnya, Bangsa Johor memilih jalan mereka sendiri. Yang menang bukan sekadar BN, tetapi mesej bahawa pengundi mahu kestabilan, pembangunan dan kepimpinan yang diyakini.
Adakah ini akan turut disaksikan di Negeri Sembilan pada 1 Ogos hanya masa menentukan. – MYNEWSHUB


