SEREMBAN – Persefahaman yang terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lahir daripada suara rakyat yang menginginkan sebuah kestabilan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, BN dan PN juga mendengar suara rakyat yang mahukan sebuah kerajaan yang mampu mentadbir negeri ini dengan berkesan.
Menurut beliau, suara rakyat mahukan sebuah kerajaan yang mampu memberi tumpuan kepada pembangunan negeri, bukan terus terperangkap dalam pertelingkahan politik yang tidak berkesudahan.
“Ramai yang bertanya mengapa BN dan PN memilih untuk menjalinkan persefahaman dalam PRN kali ini. Jawapannya mudah. Kerana kita mendengar suara rakyat.
“Kehadiran kita bersama antara BN dan PN di atas satu pentas bukan sekadar memenuhi jadual kempen pilihan raya, tetapi membawa satu mesej yang jauh lebih besar daripada itu.
“Mesej bahawa apabila kepentingan rakyat dan masa depan Negeri Sembilan menjadi keutamaan, kita mampu duduk semeja, berbincang dengan penuh hikmah dan bergerak seiring demi sebuah matlamat yang lebih besar,” katanya dalam satu kenyataan.
Jalaluddin berkata, persefahaman itu namun tidak bermaksud kedua-dua pihak perlu bersetuju dalam semua perkara, sebaliknya ia dibina atas kesedaran bahawa ada perkara yang lebih besar daripada perbezaan politik, iaitu tanggungjawab terhadap rakyat.
Jelas beliau, meskipun kedua-dua parti datang daripada latar perjuangan yang berbeza, namun BN dan PN berkongsi matlamat yang sama iaitu memastikan Negeri Sembilan terus aman, stabil dan makmur. – MYNEWSHUB


