OLEH MYNEWSHUB
SHAH ALAM – Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM) akan menghentikan operasi sepenuhnya menjelang akhir Mac 2027 susulan penyusunan semula pangkalan pengeluaran perniagaan audio visual (AVC) syarikat itu.
Keputusan berkenaan dijangka menjejaskan kira-kira 400 pekerja di kilang PAVCKM yang terletak di Seksyen 21, Shah Alam, Selangor.
Kilang itu sebelum ini terlibat dalam pengeluaran televisyen LCD untuk pasaran antarabangsa.
Menurut kenyataan rasmi Panasonic Malaysia bertarikh 27 Julai 2026, pengeluaran televisyen di kilang tersebut akan dihentikan, manakala pengeluaran pemain cakera Blu-ray akan dipindahkan ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co. Ltd. (CHPAVC) di China menjelang akhir September ini.
Langkah itu diambil bagi meningkatkan daya saing perniagaan AVC Panasonic menerusi penyusunan semula dan pengoptimuman rangkaian pengeluarannya.
Dalam perkembangan berkaitan, pengeluaran peralatan audio Hi-Fi berjenama Technics di PAVCKM pula akan dihentikan menjelang akhir Februari 2027.
Pengeluaran produk berkenaan akan dipindahkan ke sebuah lagi operasi dalam Kumpulan Panasonic, namun syarikat itu belum mendedahkan lokasi baharu atau model Technics khusus yang terlibat dalam pemindahan tersebut.
Susulan keseluruhan proses penyusunan semula itu, operasi PAVCKM akan ditamatkan sepenuhnya pada akhir Mac 2027.
“PAVCKM sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa, agensi kerajaan dan Kesatuan Pekerja-Pekerja Industri Elektrik bagi memastikan semua pekerja terjejas menerima sokongan sewajarnya, termasuk bantuan penempatan pekerjaan dan peralihan kerjaya,” menurut Panasonic.
Bagaimanapun, perkembangan tersebut tidak bermakna semua operasi Panasonic di Malaysia akan ditutup atau jenama Technics dan pemain Blu-ray dihentikan.
Panasonic menjelaskan pengeluaran produk audio lain di Malaysia akan diteruskan, manakala operasi jualan dan perkhidmatan selepas jualan bagi produk televisyen serta audio di negara ini berjalan seperti biasa.
Malaysia juga kekal sebagai salah satu hab serantau utama Panasonic dengan kumpulan itu menggaji kira-kira 12,000 pekerja dalam pelbagai bidang termasuk pembuatan bernilai tinggi, penyelidikan dan pembangunan serta aktiviti korporat.
Panasonic turut menegaskan komitmennya untuk terus melabur di Malaysia bagi menyokong strategi pertumbuhan dalam rantaian bekalan bernilai tambah tinggi. –MYNEWSHUB
