KUALA LUMPUR – Penyanyi rap dan aktivis, Caprice berpandangan kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor mungkin disebabkan pengundi Cina tidak pulang mengundi.
Beliau turut berpandangan mungkin sebahagian penyokong DAP memboikot pengundian sebagai tanda protes, manakala sebahagian lagi beralih menyokong MCA.
“BN mempunyai naratif Melayu yang sangat kuat. DAP tidak menunjukkan prestasi yang baik dan kehilangan beberapa kerusi. Kemungkinan penyokong tegar Cina mereka tidak pulang ke Johor untuk mengundi.
“Kesesakan lalu lintas didominasi oleh pengundi Melayu, sedangkan ramai menjangkakan pengundi Cina akan keluar mengundi dalam jumlah besar. Jadi, teori 70 peratus tidak memihak kepada PH,” dakwanya menerusi hantaran di media sosial.
Dalam pada itu, Caprice berpandangan PRN Johor kali ini menyaksikan pengundi Perikatan Nasional (PN) PAS memberi undi mereka kepada BN.
Selain itu, kata beliau, PH tidak mempunyai tawaran yang benar-benar menarik untuk pengundi Melayu di Johor.
“Jika BN diibaratkan sebagai Pepsi, PH gagal menawarkan Coca-Cola kepada masyarakat Melayu di Johor yang mungkin sedang mencari alternatif atau pilihan yang lebih baik,” katanya.
Tambah beliau, ‘raja formula’ BERSAMA pula gagal sama sekali sehingga semua calon hilang wang deposit, manakala parti MUDA juga tidak menunjukkan prestasi yang baik.
“Kehilangan sentuhan magis Syed Saddiq. Semua calon turut hilang wang deposit.
“Tahniah kepada BN kerana berjaya menambah jumlah kerusi. Jumpa lagi di Negeri Sembilan dalam tempoh 14 hari,” katanya. – MYNEWSHUB


