Oleh Mynewshub
REMBAU, 23 Julai – Barisan Nasional (BN) dijangka melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan malam ini dengan mengetengahkan tema ‘Sambung Yang Tergendala’.
Pengarah PRN BN Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, manifesto berkenaan dirangka bagi meneruskan pelbagai agenda pembangunan yang telah dimulakan ketika BN mentadbir negeri itu sebelum tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018.
Menurutnya, dakwaan yang tular kononnya manifesto berkenaan menciplak atau mengambil idea daripada manifesto BN Sabah adalah tidak benar dan disifatkan sebagai perang psikologi pihak lawan.
“Manifesto ini akan menyambung kerja kita yang tergendala. Asasnya sudah ada, cuma kita mahu memperkemaskan dan meneruskan semula apa yang tidak dapat dilaksanakan selepas BN tewas pada 2018,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Mohamad yang juga calon BN serta penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau berkata, parti itu akan membuat keputusan mengenai individu yang akan diketengahkan sebagai ‘poster boy’ atau calon Menteri Besar pada waktu yang sesuai.
Katanya, fokus utama ketika ini adalah memastikan seluruh jentera menjalankan kempen dengan baik dan membantu calon BN memenangi kerusi yang ditandingi.
“Kita belum bercakap mengenai ‘poster boy’. Biarlah kempen berjalan dengan baik terlebih dahulu.
“Saya yakin parti akan membuat keputusan muktamad mengenai individu yang sesuai untuk mengetuai pentadbiran sekiranya BN memenangi pilihan raya ini,” katanya.
Beliau menegaskan, kemenangan dalam pilihan raya perlu diberi keutamaan berbanding terlalu awal membincangkan soal jawatan atau kepimpinan kerajaan negeri.
“Apa yang penting, jangan terlalu bercakap mengenai ‘poster boy’ tetapi tidak menjalankan kempen dengan baik. Kita perlu pastikan kemenangan terlebih dahulu,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata, gerak kerja kempen BN sejak hari penamaan calon berjalan secara tersusun dan menerima respons positif daripada masyarakat setempat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri program kempen di Pedas Tengah yang terletak dalam kawasan DUN Chembong.
Kerusi berkenaan ditandingi calon BN, Datuk Zaifulbahri Idris yang berusaha mempertahankan kemenangan parti di kawasan tersebut.
“Alhamdulillah, sejak penamaan calon, kempen kita berjalan dengan baik. Gerak kerja jentera tersusun dan respons daripada rakyat juga amat menggalakkan.-MYNEWSHUB
“Saya berharap momentum ini dapat diteruskan dan dipertingkatkan. Calon perlu menemui serta menyantuni seramai mungkin pengundi bagi memastikan DUN Chembong kekal menjadi milik BN,” katanya.


